Guru Berkesan di Sekolah
sumber Ilfeane Silfa blog
Guru Berkesan di Sekolah
1.0 Pengenalan
Penulisan
ini bertujuan untuk membicarakan akan hal guru berkesan di sekolah dari
konsep asas sehingga lah kepada perlakuan mengajar seorang guru
berkesan dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di
sekolah. Hal ini adalah perlu bagi memperjelaskan akan tanggapan umum
guru terhadap peranan mereka yang hanya berbentuk instrumental, iaitu
menyalurkan pengetahuan dan kemahiran bagi menyediakan pelajar terhadap
satu-satu pekerjaan semata-mata lantas menyimpulkan guru berkesan adalah
guru yang mempu memberikan tiket perkerjaan terhadap pelajarnya tanpa
menyedari sifat berkesan lebih fokus kepada profesionaliti guru tersebut
yang akan menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
berdasarkan perubahan tingkah laku dan pencapaian pelajar.
2.0 Definisi Guru Berkesan di Sekolah
Guru
menurut Mok Soon Sang ( 2008 : 465 ) merupakan seorang ahli ikhtisas
dalam bidang perguruan yang menjalankan tugas mendidik di sekolah
sebagai pengajar, pembimbing, pemudahcara, inovator dan pengurus yang
secara tidak langsung mempuanyi peranan dalam aspek ekonomi dan
masyarakat. Sekolah pula menurut T.Marimuthu ( 1990 :83 ), merupakan
sebuah institusi formal yang diwujudkan oleh masyarakat yang bertujuan
menyerapkan fungsi-fungsi sosialisasi dan budaya yang merangkumi fungsi
sebagai persediaan untuk pekerjaan, perkhidmatan untuk ekonomi, agensi
penapisan dan pemilihan, arah mobiliti sosial, kawalan dan persetujuan
sosial, sosialisasi politik, pendidikan untuk perubahan, agen perubahan
sosial, pengaliran pengetahuan dan kemahiran serta fungsi mengawas untuk
menukar atau membawa perubahan tingkah laku dalam kalangan pelajar.
Menurut
Sufean Hussin ( 2005 :293 ), guru berkesan di sekolah digambarkan
mempunyai pengetahuan akademik yang tinggi dan mendalam tentang pedagogi
am dan khususnya dalam menterjemahkan kandungan mata pelajaran,
memiliki kesedaran belajar merupakan proses sepanjang hayat,
berkeupayaan menghasilkan sasaran pembelajaran yang diingin dan memiliki
motivasi personiliti yang tinggi sebagai seorang guru. Hal ini turut
disokong oleh Ishak ( 1993 ) dalam Sufean Hussin ( 2005 :293 ), bahawa
motivasi merupakan penentu utama yang mengerakkan seorang guru memiliki
ciri profesionaliti yang dihadkan ( amalan mengajar tertumpu kepada
autonomi bilik darjah dan berdasarkan pengalaman berbanding teori ) dan
dilanjutkan ( pendidikan bilik darjah dalam konteks yang lebih luas
berdasarkan teori dan penilaian yang sistematik ) menurut T.Marimuthu (
1990 :112 ) melalui kajian ke atas 591 orang guru dari 34 buah sekolah
di Malaysia berhubung dengan perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah ( KBSM ) yang mendapati 35.6% merasakan minat semakin menurun
terhadap kerjaya mereka, 54.8% ingin beralih kerja, 54.7% kurang yakin
mengajar dan 92.3% memiliki motivasi personaliti yang semakin luntur.
Malah
menurut B.L Sinha (2001: 42), penilaian keberkesanan seorang guru tidak
terletak kepada bakat mengajar, namun ianya bergantung kepada
personaliti, pelan tindakan, dan juga ‘output’ kepada pengajaran di
dalam bilik darjah yang turut diutarakan oleh Mok Soon Sang ( 2008 : 474
), bahawa penilaian terhadap guru berkesan melihat kepada hasil
pengajarannya berdasarkan personaliti mengajar yang positif, iaitu boleh
melaksanankan tugas dan aktiviti pengajarannya dalam bilik darjah
secara adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur,
cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan serta
berilmu pengetahuan dan terlatih dalam pelbagai bidang pendidikan
menurut David G.Ryans ( 1959 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008 :471 ).
3.0 Bagaimana Menjadi Guru Berkesan di Sekolah?
Menurut Salvin ( 1994 : 42 ), guru berkesan bukan sahaja berperanan
sebagai penyalur ilmu pengetahuan, bahkan juga berfungsi sebagai
pengembang dan pengukuh kemahiran para pelajarnya yang penting dalam
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang ditentukan
oleh ciri kualiti, kemahiran, personaliti dan pelbagai kaedah mengajar
guru.
3.1 Kualiti Guru
Guru
yang berkualiti boleh dimaksudkan sebagai guru yang mempunyai aspek
darjah kecemerlangan dan bermutu tinggi, iaitu guru yang tahu membuat
perancangan yang sistematik terutamanya awal beberapa minggu semasa sesi
persekolahan bermula agar memahami isi kandungan bahan yang diajar bagi
membolehkan pelajar mengikuti arahan guru dengan jelas dalam mencapai
objektif pembelajaran dan suasana pembelajaran yang sempurna dapat
dihasilkan menurut Sufean Hussin ( 2005 :292 ),
disamping mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, iaitu pengetahuan
Imperatis ( tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapai objektif atau
sasaran ) dan profesional yang merngkumi aspek pembelajaran, kemahiran,
minat, teknologi, pedagogi, undang-undang atau polisi tertentu yang
secara tidak langsung merangkumi peranan dan tanggungjawab terhadap
profession keguruan.
3.2 Kemahiran Guru
Menurut
Mohamad Johdi Hj Salleh ( 2007 : 92 ) seseorang guru yang efektif
semestinya mempunyai kemahiran yang mendalam dalam bidang atau objek
yang diajar terutamanya dalam aspek menetapkan matlamat dan rancangan
pengajaran, iaitu penetapan matlamat yang tinggi dalam setiap sesi
pengajaran dan mengatur rancangan untuk mencapai matlamat tersebut.
Dalam pada itu, guru juga perlu ada kemahiran dalam pengurusan bilik
darjah, iaitu membentuk dan mengekalkan suasana kelas yang sesuai untuk
sesi pembelajaran berdasarkan penguasaan strategi untuk membentuk
peraturan dan arahan, mengetuai aktiviti kelas dan mengawal kelakuan
pelajar. Disamping itu, pertuturan merupakan satu kemahiran komunikasi
yang penting bagi guru yang melibatkan perlakuan mendengar dan bercakap
kerana guru bukan hanya tertumpu sebagai tenaga pengajar dalam bidang
akademik semata-mata, sebaliknya guru turut berperanan sebagai pemberi
dan penyampai maklumat ilmu pengetahuan yang turut dpengaruhi oleh
intonasi suara guru yang menarik dalam menggunakan perkataan, frasa, dan
ayat bagi menepati maksud pelajaran yang hendak disampaikan.
Selain itu, menurut Halimah Harun ( 2006 : 86 ) guru juga harus memiliki kemahiran dalam memotivasikan pelajar kerana
memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pencapaian
masing-masing dalam mencapai objektif yang telah disasarkan berdasarkan
pemahaman terhadap perbezaan kognitif pelajar yang melibatkan fenomena
mental dalaman dan bukan sebagai perubahan tingkah laku luaran yang
memerlukan rangsangan yang kompleks akibat perbezaan pelajar dari segi
kecerdasan atau kecerdikan yang akan mempengaruhi tahap pembelajaran di
sekolah, maka guru yang efektif harus mengetahui bahawa pelajar hanya
dapat memproses beberapa maklumat sahaja dalam suatu masa tertentu dan
lebih memberi fokus kepada perkara-perkara yang mereka fikirkan penting.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab guru menekankan pentingnya
interaksi sosial pelajar dengan persekitaran fizikal untuk merangsang
pengembangan kognitif.
3.3 Personaliti Guru
Dalam
pada itu, penampilan seseorang guru dapat mempengaruhi keberkesanan
dalam pengajaran dan penerimaan pelajar terhadap pelajaran yang
disampaikan kerana cara penampilan, gerak badan guru, dan sahsiah guru
di dalam bilik darjah dapat mencerminkan keyakinan dan kesungguhan
seseorang guru yang harus menjadi model atau contoh yang baik kepada
pelajar. Hal ini kerana, kajian menunjukkan bahawa seseorang pelajar
adalah lebih cenderung dalam menjadikan guru sebagai sasaran idola dalam
persaingan mereka, maka tingkah laku guru adalah penting dalam
menghasilkan pengajaran yang berkesan. Penampilan yang
cuba diterangkan disini adalah berkaitan dengan cara guru berpakaian
yang disifatkan hendaklah kemas, ringkas dan tidak memakai perhiasan
yang keterlaluan serta sederhana dari segi fesyen dan warnannya juga
tidak terlampau terang dan berkilat-kilat agar tidak menggangu
konsentrasi pelajar.
Gerak
badan yang dilakukan oleh guru pula adalah bertujuan untuk menguatkan
lagi pemberian sebarang arahan kepada pelajar dan menggambarkan emosi
guru yang boleh disampaikan melalui kemahiran menggunakan gerak geri,
misalnya melalui penggunaan isyarat sebagai pengganti perkataan yang
dituturkan sejajar dengan pertuturan yang dilafazkannya dalam membantu
kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru berkesan juga
seharusnya bijak mengawal tingkah laku dan mengekalkan tatatertib
positif seorang guru disamping memiliki keyakinan diri yang tinggi dan
matlamat yang jelas agar dapat menguasai pelajaran dengan betul dalam
membentuk persekitaran yang selamat dan teratur kepada para pelajar.
Selain itu, guru perlu bijak dalam membentuk suasana komuniti di dalam
bilik darjah dan juga di sekolah, mampu menarik minat pelajar,
memberikan pengajaran yang bermakna berdasarkan tahap
kemahiran pemikiran yang tinggi serta mengawasi tahap kemajuan pelajar
agar ia menghala kepada objektif yang telah ditetapkan.
3.4 Pelbagai Kemahiran Mengajar
Proses
pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan
berkesan sekiranya guru menggunakkan pelbagai keadah mengajar yang
bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh
setiap murid seperti yang diutarakan oleh Zamri Mahamod dan Mohamed Amin
Embi ( 2006 : 118 ), bahawa para guru seharusnya menyedari akan
kepentingan pemilihan kaedah mengajar yang berkesan
berdasarkan keadaan dan kemampuan pelajar itu sendiri dan bukannya
berdasarkan kemahuan sesoarang guru yang secara tidak langsung
menjadikan pengajaran dan pembelajaran memberikan daya tarikan baru yang
menarik perhatian pelajar yang turut disokong oleh Mohamad Johdi Hj
Salleh ( 2007 :92 ), bahawa guru seharusnya perlu sentiasa
mengubahsuai kaedah untuk menghasilkan pengajaran yang efektif
berdasarkan kajian dan penyelidikan mengenai keadah pengajaran yang
bersesuaian untuk sesuatu isi pengajaran, topik atau kemahiran bagi
menilai kelebihan dan kekurangan bagi mempelbagaikan lagi kaedah
pengajaran disamping mencari kaedah-kaedah yang baru yang berperanan
sebagai sumber kefahaman, minat dan komitmen murid. Misalnya,
penyelididkan yang dilakukan oleh Zamri Mahamod dan Mohamed Amin Embi (
2006 :120 ), mendapati bahawa guru yang menggunakan kaedah mengajar yang
sesuai membantu pelajar memahami penggunaan bahasa dengan baik.
Disamping
itu, menurut Mohamad Johdi Hj Salleh ( 2007 :98 ), guru yang bijak
menggunakan gaya tingkah laku dan intonasi suara, bercerita, memek muka
dan humor akan tetap menarik minat pembelajaran dan murid mengikuti
pengajaran secara efektif tanpa kebergantungan terhadap penggunaan
peralatan elektronik seperti komputer, internet, Power Point dan video.
Malah menurut Maimun Aqsha Lubis et.al. ( 2007 :124 ), kaedah mengajar
yang berpusatkan aktiviti murid mampu meningkatkan pencapaian pelajar
hasil daripada pengalaman terus yang secara tidak langsung meningkatkan
daya ingatan pelajar.
4.0 Usaha-usaha Guru Berkesan di Sekolah Menghasilkan Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan
Menurut
Mok Soon Sang ( 2008:467 ), penghasilan pengajaran dan pembelajaran
yang efektif adalah berkaitan dengan kejayaan seseorang guru sebagai
pengajar yang bergantung kepada perlakuan mengajar yang baik dari segi
perancangan, perlaksanaan dan penilaian.
4.1 Perancangan
4.1.1 Menentukan objektif pelajaran
Menurut
Mok Soon Sang ( 2008: 468 ), objektif pelajaran bagi menghasilkan
pengajaran yang efektif adalah objektif yang bersifat eksplisit yang
ditentukan berdasarkan saranan sukatan pelajaran, pengetahuan sedia
murid serta mengikut kebolehan mereka dan biasanya disediakan
berdasarkan prinsip tingkah laku, iaitu perubahan tingkah laku murid
yang dikesan secara eksplisit selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran selesai dijalankan. Keperluan penentuan objektif eksplisit berdasarkan
sukatan pelajaran adalah penting kerana ianya menyatakan matlamat, unit
pembelajaran dan kemahiran yang digubal dan disusun mengikut sesuatu
tahap yang dihurai dengan jelas dalam Buku Panduan Guru yang telah
disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan
Malaysia sebagai dasar perangkaan matlamat kecil pengajaran menurut
Omardin Asahari ( 1999: 2 ). Selain itu, guru efektif harus mengambil
kira pengetahuan sedia ada murid dalam menentukan objektif eksplisit
kerana berkait rapat dengan kebolehan mereka memahami isi pelajaran
menurut Robert Glaser ( 1962 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008: 226 ) sebagai
tingkah laku kemasukan yang meliputi kebolehan intelek, aras motivasi,
penentu sosial dan budaya serta kebolehan pembelajaran dalam kelas.
Menurut Omardin Asahari ( 1999: 9-10 ), objektif eksplisit membawa maksud jelas, terang dan dapat digambarkan dengan nyata yang merujuk
kepada perubahan tingkah laku yang dapat dilihat dan dinilai oleh guru
bagi menghasilkan pemahaman, contohnya pelajar dapat menyebut lima sebab
kegagalan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Tingkah laku yang dimaksudkan
adalah merujuk kepada semua aktiviti yang dilakukan oleh pelajar dan
dapat dilihat serta dinilai dengan lebih mudah berdasarkan tiga unsur
utama, iaitu perlakuan yang dijangkakan daripada pelajar di akhir
pengajaran guru, syarat bagi pelajar dapat dilakukan seperti yang
dikehendaki oleh mereka dan peringkat pencapaian minimum atas prestasi
boleh diterima oleh guru. Oleh itu, guru efektif adalah guru yang
mempunyai objektif pelajaran eksplisit bagi memastikan pengajaran dan
pembelajaran efektif tercapai yang mana tahap pencapaiannya menurut Mok
Soon Sang ( 1993: 6 ), ditunjukkan berdasarkan keputusan dan kesan
pengajaran mengikut perlakuan dan prestasi pelajar.
4.1.2 Memilih isi pelajaran
Menurut
Mok Soon Sang ( 2008: 296-297 ), pemilihan isi pelajaran melibatkan
proses pemeringkatan isi pelajaran berdasarkan prinsip-prinsip dalam
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran efektif melalui penyusunan
dalam rancangan mengajar daripada senang kepada susah, konkrit kepada
abstrak, fakta kepada teori, spesifik kepada umum ( induktif – mengumpul
dan mentafsir maklumat sebelum membuat kesimpulan ), umum kepada
spesifik ( deduktif – penggunaan rumus, prinsip, hukum dan teori sebelum
mengaplikasikannya keatas contoh yang khusus ), pengalaman kepada luar
pengalaman dan dekat kepada jauh berdasarkan objektif pelajaran,
pengetahuan sedia ada murid, mengandungi unsur bersepadu ( kognitif atau
pengetahuan, afektif atau kerohanian dan psikomotor atau tingkah laku
pergerakan ) serta menggabungjalinkan kemahiran dalam suatu pelajaran.
Menurut Omardin Asahari ( 1999: 43 ), perancangan dalam pemilihan
pemeringkatan isi pelajaran harus mengambil kira empat peringkat utama,
iaitu perancangan sesuatu kursus atau bagi keseluruhan kurikulum,
perancangan pengajaran sesuatu tajuk pelajaran, perancangan penyusunan
peringkat dan perancangan penyusunan tindakan bagi mencapai objektif
tingkah laku. Manakala menurut Mok Soon Sang ( 2008: 299-300 ),
pengajaran dan pembelajaran yang efektif bergantung kepada penumpuan
perancangan guru dalam proses pemeringkatan isi pelajaran mengikut
penggal, minggu dan harian.
4.1.3 Memilih strategi, kaedah dan teknik mengajar
Pemilihan
strategi, kaedah dan teknik mengajar disifatkan sangat penting dalam
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran menurut Mok Soon
Sang ( 2008: 472 ) kerana berkait rapat dengan pencapaian objektif
pelajaran bagi membantu perancangan isi pelajaran secara sistematik dan
menarik. Menurut Omardin Asahari ( 1999: 60 ), strategi dalam pendidikan
merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan
merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran
berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan dan dalam
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan guru efektif
hendaklah menggunakan strategi pemusatan murid kerana penglibatan murid
mempengaruhi peningkatan daya ingatan terhadap apa yang mereka pelajari (
Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986: 62 ) yang akan mempengaruhi penilaian
perlakuan dan prestasi dalam mengukur keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
Menurut
Mok Soon Sang ( 2008: 94 ), strategi pemusatan murid adalah murid
memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran dan guru haruslah
bersikap sebagai seorang pemimpin yang membimbing dalam menjalankan
aktiviti pembelajaran secara kumpulan atau individu dengan mengambil
kira perbezaan pelajar dari segi umur, saiz badan, kematangan,
pengalaman, minat, pengetahuan sedia ada dan tahap persekolahan menurut
Ee Ah Meng ( 1993: 61 ) dengan menggunakan kaedah dan teknik projek,
inkuiri-penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah,
simulasi, main peranan, sumbangsaran, berkumpulan dan pembelajaran
melalui pengalaman. Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 154 ), kaedah boleh
menjadi teknik apabila kaedah dilaksanakan dengan teknik yang sesuai dan
menurut Edward M.Anthony ( 1963 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008: 154 ),
teknik adalah kemahiran atau kecekapan guru yang disifatkan sebagai satu
muslihat atau strategi untuk mengelolah dan melaksanakan kaedah
mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
4.1.4 Memilih dan menyediakan bahan-bahan pelajaran
Pada
asasnya bahan-bahan pelajaran terdiri daripada bahan rujukan guru (
sukatan pelajaran, buku panduan mengajar dan buku sumber ) untuk
merancang aktiviti pengajarannya, bahan pengajaran ( alat bantu mengajar
- alat pendengaran, alat-alat pandangan dan alat pandang-dengar menurut
Atan Long, 1982: 174 ) untuk menyampaikan konsep dengan cara lebih
berkesan dan bahan pembelajaran ( buku teks dan alat-alatan yang
digunakan oleh murid untuk menjalankan aktiviti pembelajaran ) untuk
mempelajari konsep dan kemahiran dengan cara lebih seronok dan bermakna
menurut Mok Soon Sang ( 2008: 308 ). Bagimana pun , menurut Henley dan
Ullmer ( 1978 ) dalam Omardin Ashaari ( 1999: 140 ), pengajaran dan
pembelajaran yang efektif bergantung kepada kebolehan dan kecekapan guru
dalam pemilihan bahan pengajaran ( alat bantu mengajar ) alat
pandang-dengar yang dapat memenuhi keperluan dua saluran deria utama
manusia, penglihatan ( 75 % ) dan pendengaran ( 13 % ) untuk memperolehi
maklumat berdasarkan kajian pakar-pakar pendidikan menurut Mok Soon
Sang ( 2008: 309 ).
Bahan pengajaran alat pandang-dengar atau dikenali juga sebagai audio-visual yang terdiri
daripada filem, televisyen dan video yang berkaitan dengan strategi
pemusatan murid menurut Mazhan Arshad ( 2008: 24 ) dapat membantu
pelajar mempertingkatkan daya ingatan, pemikiran dan tanggapan. Hal ini
kerana, Norasiah Abdullah et.al ( 2009: 108 ), kepentingan audio tidak
boleh diperkecilkan kerana secara purata murid sekolah ( rendah dan
menengah ) menghabiskan 50 % dan pelajar kolej atau universiti
menggunakan 90 % daripada masanya di sekolah untuk mendengar. Malah
menurut Azman Laut ( 2005: 36 ) lagi, visual merupakan alat komunikasi
yang dapat menyediakan rujukan konkrit yang lebih baik daripada lisan
dan tulisan yang terdiri daripada fotografik, elektronik dan grafik.
Fotografik dan elektronik menyediakan ilustrasi melalui gambar, sejenis
visual yang mewakili realiti dalam keadaan yang paling realistik, iaitu
menyerupai sesuatu subjek atau situasi yang sebenar. Bahan grafik pula
menyediakan ilustrasi secara artistik atau simbolik yang mengabungkan
tulisan dan lukisan dengan jelas dan konkrit ( Norasiah Abdullah et.al,
2009: 80 ) dan ia terdiri daripada dua kategori visual iaitu, Visual
analogik ( simbol mewakili konsep ) dan organisasi ( carta aliran graf,
peta, carta kategori dan sebagainya ).
Bagaimana
pun, pemilihan bahan pelajaran alat pandang dengar yang efektif
haruslah sesuai untuk aktiviti pengajaran-pembelajaran mengikut
peringkat, dapat diterima oleh pancaindera murid dan dapat digunakan
oleh murid sebagai bahan pembelajaran menurut Mok Soon Sang ( 2008: 313
).
4.1.5 Menyediakan dan menguruskan kemudahan-kemudahan
Menyediakan
dan mengurus kemudahan-kemudahan dalam bilik darjah menyentuh akan
peranan guru sebagai pengurus yang harus mengurus keadaan fizikal bilik
darjah supaya lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang lebih berkesan menurut Mok Soon Sang ( 2008: 467 ). Hal ini kerana,
menurut Omardin Ashaari ( 1999: 120 ), keadaan fizikal bilik darjah
yang bersih, cahaya yang mencukupi, udara yang bersih dan nyaman,
kerusi-meja yang teratur dan ruang pergerakan pelajar yang mencukupi
untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dapat meningkatkan tumpuan
perhatian dan penglibatan diri secara aktif dalam pembelajaran.
4.2 Perlaksanaan
4.2.1 Memotivasikan murid-murid
Menurut
Shahril @ Charil bin Hj Marzuki ( 2004: 29 ) melalui kajiannya di
beberapa Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan dan Selangor dalam Jurnal
Pendidikan Amalan Pengajaran yang Berkesan, perlakuan guru sebagai
pengajar yang berkesan secara tidak langsung dapat menghasilkan
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berikutan keupayaannya dapat
memotivasikan pelajar agar berminat belajar yang akhirnya mencapai
objektif pelajaran. Hal ini kerana, menurut Schaffner dan Schiefele (
2007: 96 ), motivasi adalah suatu keadaan yang menggerakkan pelajar bagi
memulakan sesuatu dan diikuti dengan keupayaan bagi mengekalkan
penglibatan itu sama ada bersifat dalaman ( instrinsik ) mahupun luaran (
estrinsik ) melalui pendekatan teori motivasi behaviourisme ( luaran )
dan kognitif ( dalaman ).
Pemberian
motivasi berdasarkan pendekatan teori motivasi behaviourisme ( luaran )
menurut Ormrod ( 2003: 78 ), melibatkan pemberian peneguhan, ganjaran
dan insentif sebagai suatu rangsangan untuk membentuk perubahan tingkah
laku yang menumpuhkan perhubungan rangsangan – gerak balas ( S – R )
yang boleh dikekalkan berdasarkan tiga hukum Thorndike ( kesediaan,
latihan dan kesan ) melalui pemberian latihan yang berulang kali menurut
Mok Soon Sang ( 2008: 176 ) dan teori peneguhan skinner ( penghargaan
dan hukuman mengikut jadual ) menurut Nursalam ( 2007: 27
). Amalan pemberian motivasi berdasarkan teori pembelajaran kognitif
menurut Mohd Jamil Yaacob ( 2005: 61 ), melihat kepada keupayaan guru
mencetuskan naluri ingin tahu dan kesedaran keperluan pencapaian
matlamat dalam kalangan pelajar berdasarkan teori pengajaran Bruner (
naluri ingin tahu berkaitan akal kesedaran – sedar, prasedar dan bawah
sedar – penentu semulajadi perubahan tingkah laku mengikut perkembangan
kognitif – enaktif, ikonik dan simbolik menurut Mohd Yusuf Abdullah,
2008: 36 ), teori keperluan pencapaian Mcclelland ( keperluan pencapaian
kejayaaan yang berbeza ) dan teori motivasi pencapaian Atkinson (
jaya-gagal ). Oleh itu, adalah penting menyusun isi pelajaran secara
sistematik mengikut peringkat berdasarkan tahap perkembangan kognitif
pelajar bagi menggalakkan penglibatan secara aktif dalam kalangan mereka
agar objektif pelajaran tercapai.
4.2.2 Menyampaikan isi pelajaran
Perlaksanaan
penyampaian isi pelajaran yang efektif disusun mengikut langkah-langkah
dan masa yang ditentukan. Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 298 ), pada
asasnya, waktu pelajaran yang menggunakan masa 30 minit harus menitikkan
komponen penyampaian isi pelajaran utama, iaitu set induksi,
perkembangan ( penyampaian konsep, penguasaan kemahiran dan aplikasi )
dan penutup. Set induksi merupakan bahagian permulaan dalam sesuatu
proses pengajaran dan pembelajaran selama lima minit untuk membina
aliran fikiran serta menimbulkan minat pelajar agar dapat memusatkan
tumpuan terhadap isi pelajaran yang hendak disampaikan dan menurut
Mazhan Arshad ( 2008: 24 ), penggunaan alat bantu mengajar dapat
melahirkan tanggapan ( proses mental di mana otak manusia menerima
maklumat daripada rangsangan yang dikesan oleh organ deria, dan
berdasarkan pengalaman yang lampau, mentafsir dan seterusnya membentuk
konsep rangsangan untuk membentuk tanggapan ) dan pengamatan (
bentuk gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran ) yang pantas
dalam kalangan pelajar sebagai cara penyampaian set induksi.
Penyampaian
isi pelajaran dalam peringkat perkembangan merupakan bahagian yang
penting kerana merangkumi penyampaian konsep, penguasaan kemahiran dan
aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran, maka adalah kemestian
seorang guru efektif untuk tidak mengabaikan pemeringkatan atau urutan
isi pelajaran mengikut langkah yang bergantung kepada panjang atau
pendeknya isi pelajaran berdasarkan masa yang telah ditetapkan serta
dikaitkan dengan teknik, kaedah dan alat bantu mengajar yang berpusatkan
pelajar tanpa mengabaikan peranan secara tidak langsung sebagai
pengurus kelas agar mencapai objektif pelajaran menurut Mok Soon Sang (
2008: 245 ).
4.2.3 Membimbing murid-murid
Mengajar
dalam bilik darjah bukanlah satu-satunya tugas seorang guru. Guru juga
perlu membimbing pelajar untuk meneruskan pelajaran mereka. Murid-murid
sering menghadapi masalah pembelajaran dalam bilik darjah dan juga
masalah sosioemosi. Ramai pelajar yang tidak dapat menumpukan perhatian
sepenuhnya dalam pelajaran yang diikuti. Masalah ini hendaklah
diselesaikan oleh guru untuk memastikan pelajarnya selesa semasa
belajar. Muijs dan Reynolds ( 2001 : 45 ), mengatakan bahawa adalah
sangat penting bagi guru supaya dapat mengenal pasti masalah yang
dihadapi oleh pelajarnya dan menyelesaikan masalah itu secepat yang
boleh. Bukan semua pelajar dalam bilik darjah mempunyai latar belakang
dan sifat yang sama kata Mok Soon Sang ( 2008 : 51 ) . Terdapat juga
pelajar yang bersifat pemalu dan kurang menonjol dalam kelas. Situasi
seperti inilah yang memerlukan guru untuk bertindak sebagai pembimbing
agar pelajar yang pemalu ini dapat melibatkan diri dalam aktiviti kelas.
Guru juga perlu mendorong pelajar untuk belajar. Terdapat pelbagai cara
untuk mendorong belajar. Salah satu caranya ialah dengan menyoal
pelajar dengan soalan yang merangsang fikiran. Soalan juga mestilah
seronok untuk dijawab oleh para murid. Menurut Ainon Mohd dan Abdullah
Hassan ( 2005 : 76 ), dorongan akan timbul dalam diri pelajar apabila
mereka merasa kejayaan telah dicapai dan bukannya kegagalan.
Bimbingan
daripada guru sangat diperlukan oleh pelajar terutamanya menjelang
peperiksaan yang penting seperti SPM bagi pelajar tingkatan lima atau
pun PMR bagi pelajar tingkatan tiga. Terdapat segelintir pelajar yang
bersifat rendah diri. Hal ini disebabkan kerana prestasi mereka yang
kurang memberangsangkan di dalam kelas. Setiap kali peperiksaan mereka
akan mendapat markah yang rendah. Untuk memastikan masalah ini tidak
berlarutan, guru hendaklah cepat mengatasi masalah ini. Berbincang
dengan pelajar tersebut adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah
itu. Jika pelajar segan untuk meluahkan masalah mereka di dalam kelas,
guru boleh berbincang dengan pelajar secara peribadi. Untuk menaikan
semangat pelajar, guru boleh memberitahu pelajar tersebut bahawa mereka
mampu untuk meningkatkan prestasi mereka jika pelajar itu sendiri yang
berusaha dengan bersungguh-sungguh dan sanggup mencuba (Urdan dan
Schoefelder, 2006 : 335 ) . Selain daripada berbincang dengan pelajar
tersebut guru juga boleh menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat
pelajar dan seterusnya menanam rasa keseronokan belajar dengan
mempelbagaikan kaedah pengajaran ataupun menggunakan pelbagai Alat Bantu
Mengajar yang menarik.
4.2.4 Mengurus disiplin bilik darjah
Disiplin
bilik darjah menurut Mok Soon Sang ( 2008 :453 ), merupakan peraturan
yang dikenakan ke atas pelajar untuk mengawal tingkah laku dan
mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
terbahagi kepada disiplin arahan guru, arahan kerja, arahan kumpulan dan
arahan diri yang secara tidak langsung mempengaruhi keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kecekapan perlaksanaan guru
dalam mengurus disiplin arahan kerja dan arahan diri. Disiplin arahan
kerja menurut Omardian Asahaari ( 1999 :127 ) mempuanyi ciri motivasi
yang positif yang dapat menggalakkan pelajar menyelesaikan tugasan yang
bergantung kepada kematangan mereka berdasarkan pengurusan pemberian
jenis tugasan yang menarik, bermakna dan boleh disempurnakan mengikut
masa yang ditetapkan, sesuai dengan umur dan keupayaan pelajar. Selain
itu, menurut Sharifah Alwiah Alsagoff ( 1984 ) dalam Mok Soon Sang (
2008 :456 ), pengurusan disiplin arahan diri merupakan jenis disiplin
yang paling berkesan dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan berikutan sikap patuh pelajar secara sukarela dan tidak sedar
hasil daripada pemikiran yang matang akibat penerapan nilai murni oleh
guru melalui latihan dan bimbingan.
4.2.5 Mewujudkan komunikasi dan interaksi
Komunikasi
merupakan sebagai suatu proses penyampaian atau pertukaran maklumat
antara dua individu, atau di antara seorang individu dengan sekumpulan
manusia yang lebih dikenali sebagai sesuatu interaksi sosial yang
terbahagi kepada lisan ( verbal ) dan bukan lisan ( non-verbal ) menurut
Mok Soon Sang ( 2008 : 450 ) yang turut disokong oleh Ray Birdwhistell (
1955 ) dalam Omardian Asahaari ( 1999 :23 ), bahawa lebih kurang 35
peratus komunikasi lisan dan 65 peratus komunikasi bukan lisan perlu
digunakan oleh seorang guru semasa mengajar, malah kejayaan seorang guru
dalam perlaksanaan komunikasi yang berkesan bergantung kepada jenis
interaksi yang digunakan, iaitu interaksi dua hala di antara guru dengan
pelajar, pelajar dengan pelajar dan pelbagai hala di antara guru dengan
pelajar dan pelajar dengan pelajar berdasarkan pendekatan aktiviti
kumpulan melalui strategi berpusatkan pelajar . Menurut Mok Soon Sang (
2008 :447-452 ) lagi, penghasilan interaksi yang berkesan pula
bergantung kepada sikap kepimpinan demokratik seorang guru dalam
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang sanggup
berkongsi kuasa dengan pelajar dalam hal perlaksanaan pengurusan
aktiviti.
4.3 Penilaian keberkesanan pengajaran, pembelajaran, bahan-bahan dan objektif pelajaran.
Penilaian
merupakan salah satu aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran yang
meliputi usaha menilai keberkesanan pengajaran, pembelajaran,
bahan-bahan dan objektif pelajaran yang menjadi tenaga penggerak dalam
proses perkembangan dan kemajuan pelajar secara sumatif dan formatif
menurut Omardin Asahaari ( 1999 : 177 ). Menurut Esah ( 2003 ) dalam
Siti Atiqah Sharudin ( 2008 :21 ) pula, keberkesanan pengajaran
ditakrifkan sebagai pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran
dalam diri pelajar melalui pengalaman yang akan mengubah tingkah
laku seseorang pelajar secara kekal yang dinilai berlandaskan penggunaan
strategi, kaedah dan teknik mengajar. Keberkesanan pembelajaran pula
dinilai berlandaskan prestasi murid dalam aktiviti pembelajaran mereka
yang boleh diukur aras kualitinya berdasarkan ujian rujukan norma atau
relatif dan kriteria menurut Mok Soon Sang ( 2008 :469 ) melalui
aktiviti soal jawab dan begitu juga halnya dengan penilaian terhadap
keberkesanan penggunaan bahan-bahan pembelajaran yang dapat meningkatkan
tahap penerimaan maklumat deria utama manusia dengan lebih baik
berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh pelajar. Hasil penilaian
inilah yang akan menentukan guru mengesan pencapaian objektif pelajaran
bagi membolehkannya merancang pengubahsuaian yang perlu untuk
menambahbaikan pengajaranya, merangka strategi baru untuk membantu
pelajar yang gagal mengusai kemahiran yang diajarkan dan menukar
bahan-bahan pengajaran dengan lebih sesuai.
5.0 Kesimpulan
Secara
keseluruhannya, guru berkesan di sekolah adalah guru yang tahu
mengimbangi peranannya dengan mengambil kira aspek kualiti, kemahiran,
personaliti dan kepelbagaian kaedah mengajar yang bertitik mula dari
dalam diri guru tersebut yang akhirnya menghasilkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan berdasarkan perlakuan mengajar yang
menekankan perancangan, perlaksanaan dan penilaian yang mana tahap
penentuannya ditunjukkan berdasarkan keputusan dan kesan pengajaran
mengikut perlakuan dan prestasi pelajar.
6.0
Tidak ada komentar:
Posting Komentar